Monday, February 21, 2011

Inikah Saudaraku? 9


Kalau dendam sudah membara,
Darah merah kan tertumpah jua.


“ Zulfa, kau nak pindah ke?”

“ A’ah.” Zulfa menjawab lemah.

“ Pindah pergi mana?”

“ Kata ayah aku, nak pindah Perak.”

“ Perak?”

“ Em…”

“ Kenapa tak pindah dalam kawasan Selangor je?”

“ Entah. Kau cubalah tanya ayah aku. Aku ikut je.”

“ Oh, em…”

Perbualan Zulfa dan sahabatnya, Syarah mati di situ. Kantin pada hari itu penuh. Zulfa menghirup air sirap yang dibelinya. Senyuman pada rakan yang mengenali dirinya dilemparkan setiap kali bertembung – menyembunyikan kesengsaraan yang melanda jiwanya beberapa hari yang lalu.

Kring!!!

Loceng sekolah berdering tanda waktu rehat tamat. Semua murid bergegas ke kelas masing-masing. Begitu juga Zulfa dan Syarah. Kelas mereka bingit seperti biasa. Cuma jelingan daripada seorang rakannya membuatkan Zulfa mual. Zulfa tersenyum pahit.

Pembelajaran di dalam kelas dimulakan seperti biasa. Guru yang sedang khusyuk mengajar sepintas lalu memandang Zulfa yang dalam kerunsingan. Pengajaran tetap diteruskan. Kepala Zulfa mengangguk perlahan tanda faham. Sesi pembelajaran berhenti seketika. Guru mengatur langkah ke meja guru untuk berehat untuk beberapa minit. Zulfa terus menjamah pandangan ke luar kelas. Fikirannya terlalu berat pabila memikirkan banyak perkara. Kenapa aku diuji sebegini rupa?

“ Zulfa.” Zulfa menoleh perlahan wajah yang memanggil.

“ Ya, cikgu.”

“ Cikgu nak jumpa kamu lepas kelas ni ek.”

“ Kenapa cikgu?”

“ Cikgu nak tanya sesuatu.” Tatapan mata gurunya membuatkan dia kalah dalam mempertahankan diri untuk mengelak daripada bersua muka dengannya.

“ Baik, cikgu.” Zulfa menundukkan matanya ke buku yang berada di atas meja.

Selepas sesi pembelajaran tamat, Zulfa mengekori langkah gurunya keluar kelas. Rakan-rakannya melihat kehairanan dengan kelakuan Zulfa.

“ Kenapa Zulfa kena panggil dengan cikgu?” Perbualan yang cuba diperlahan oleh salah seorang rakannya tetap dapat didengari oleh Zulfa.

Gurunya membawa Zulfa ke bilik guru. Semua guru yang berada di dalam bilik guru memandang tepat ke arah Zulfa. Zulfa mengukir senyuman dan memberi salam kepada semua guru.

“ Duduk Zulfa. Ambil kerusi tu.” Gurunya menunjukkan satu kerusi plastik di penjuru bilik guru. Zulfa mengambil kerusi tersebut dan duduk bersebelahan dengan kerusi gurunya.

“ Kenapa cikgu?” Zulfa teragak-agak.

“ Cikgu dengar-dengar kamu nak pindah sekolah. Betul ke?” Terbeliak mata Zulfa mendengarnya. Sungguh cepat berita ini tersebar luas.

“ A’ah. InsyaAllah.” Zulfa mengangguk.

“ Bila?”

“ InsyaAllah tahun depan.”

“ Kenapa nak pindah?”

Zulfa memandang tepat ke mata gurunya itu.


“ Kalau ada orang tanya kenapa kita pindah, cakap ayah dipindahkan ke sana tau.”
Zulfa teringat pesanan ibu dan ayahnya.

Dia mengukir senyuman. “ Ayah kena transfer.”

“ Oh. Pindah mana?”

“ Kata ayah, pindah Perak.”

“ Oh, Perak. Dekat je. Perak dekat mana?”

“ Entahlah cikgu. Saya pun tak tahu.” Zulfa mengangkat bahunya. Cikgunya mengangguk faham.

“ Ayah kamu minta pindah ke atau dipindahkan?” Cikgu mengukir senyumam sinis.

“ Dipindahkan.” Yakin Zulfa menjawab.

“ Em, yelah. Kamu boleh balik ke kelas.”

“ Itu je ke cikgu nak tanya?”

“ A’ah.”

“ Oh. Saya keluar dulu, cikgu. Terima kasih. Assalamualaikum.” Zulfa mengukir senyuman.

“ Waalaikumussalam.”

Zulfa melangkah keluar dari bilik guru itu. Sejurus keluar dari bilik guru, setitis air mata Zulfa jatuh ke lantai. Zulfa menarik nafas berat. Dia mengesat air matanya, namun semakin diseka, semakin banyak air matanya yang keluar dari kelopak mata. Zulfa berlari-lari anak ke padang sekolahnya. Sesi pembelajaran yang seterusnya tidak dihiraukan buat seketika.

Zulfa berhenti di astaka – melihat padang yang dipenuhi dengan rumput hijau. Ya Allah, sampai bila aku akan menipu diri sendiri dan orang lain? Sampai begini aku harus menipu semua orang untuk menyembunyikan hal yang sebenarnya. Ya Allah!

“Aaaaaaaahhhhhhhhhhh!!!” Zulfa teriak perlahan. Dia memegang erat tiang besi astaka yang terzahir kekaratannya. Air matanya semakin mengalir deras ke pipinya yang mulus. Dia menarik nafas panjang. Perlahan-lahan dilepaskan. Kasar Zulfa menyeka air matanya.

Balasan apakah ini, ya Allah?