Irsyad diambil oleh ayahnya setelah pulang dari sekolah. Ayah menatap wajah anaknya yang kepenatan. Hari pertama Irsyad di sekolah SMK Tandek membawa seribu satu kenangan yang tawar dalam hidupnya. Irsyad diam membisu ketika di dalam kereta.
“ Macam mana dengan sekolah baru?” Ayah Irsyad memulakan perbualan.
“ Alhamdulillah, ok yah.” Irsyad khusyuk melihat pemandangan yang dilalui oleh kenderaan yang dinaikinya.
“ Kawan-kawan? Ok?” Mata Irsyad masih khusyuk menjamah pemandangan.
“ Irsyad.” Ayah cuba menyedarkan Irsyad dari lamunannya.
“ Ya.”
“ Ayah tanya kamu ni. Kawan-kawan kamu ok tak?”
“ Alhamdulillah, yah. Semua ok.”
“ Alhamdulillah, baguslah kalau macam tu. Ayah harap Irsyad dapat menyesuaikan diri kat sekolah baru Irsyad. Jangan mudah terpengaruh dengan persekitaran tau. Dulu Irsyad sekolah agama, sekarang tak lagi. Jadi, pandai-pandai jaga diri. Irsyad dah besar. Ingat pesanan ayah ni.” Ayah memberi nasihat kepada Irsyad, di samping menyimpan harapan yang besar untuk anak sulungnya itu.
“ InsyaAllah, yah. Irsyad cuba” Jawab Irsyad ringkas. Walaupun pandangannya masih menjamah pemandangan, namun nasihat ayahnya sentiasa tersemat di kolam hatinya.
“ Ayah… Kenapa ayah sekolahkan Irsyad kat sekolah biasa bukan sekolah agama?” Irsyad cuba memberanikan dirinya untuk menanyakan perkara yang sedang berlegar-legar di ruang fikirannya.
Ayah memandang Irsyad dengan penuh tanda tanya. Mana anak aku kutip keberanian untuk tanya benda macam ni? Dia menggosok-gosok kepala anaknya itu. Dia tersentap akan pertanyaan anaknya itu. Dia hanya mampu mendiamkan diri.
Aniq sentiasa menemani Balqis pulang ke rumahnya. Namun begitu, mereka bukan berdua tetapi bertiga, iaitu mereka turut ditemani oleh Najwa. Hari ini merupakan hari yang mencabar bagi Aniq. Dia dapat melihat sedikit perubahan dalam diri kekasihnya, Balqis.
Sejak perjalanan pulang dari sekolah tadi, mereka hanya membisu. Nyanyian Najwa sahaja yang meriuhkan suasana suram itu. Mereka sering pulang ke rumah dengan berjalan kaki. Biasanya, sepanjang perjalanan pulang itu akan diriuhkan dengan gelak tawa mereka bertiga. Namun, hari ini berbeza dengan hari-hari sebelumnya. Balqis hanya mendiamkan diri. Aniq pula tidak memulakan bicara. Hanya Najwa yang menghiburkan mereka dengan nyanyian merdunya.
Najwa memang terkenal di sekolah dengan suara lunaknya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa sememangnya dia mempunyai bakat dalam bidang seni suara. Kalau umurnya boleh bertanding dalam pertandingan realiti televisyen, mungkin dia yang akan menjadi juaranya. Wajahnya yang hitam manis dan bibirnya yang sentiasa mengukir senyuman, menyedapkan setiap mata yang memandangnya.
Kebisuan Balqis dan Aniq membuatkan Najwa sedikit bosan kerana kebiasaannya mereka berdua akan mengkritik nyanyiannya. Tetapi, hari ini tiada satu suara yang keluar dari mulut mereka. Najwa memikirkan cara untuk mengembalikan ketegangan antara Aniq dan Balqis kepada sedia kala. Dia sendiri tidak tahu punca Balqis bersikap sebegitu. Dia mengumpul seluruh tenaganya untuk memulakan bicara. Dia risau kalau-kalau dia akan tersilap cakap atau akan menyinggung perasaan salah satu daripada mereka. Alah, macam mana ni? Apabila difikir-fikirkan olehnya, dia sudah bersedia untuk dimarahi oleh mereka berdua. Najwa menarik nafas sedalam-dalamnya dan dilepaskan perlahan-lahan.
“ Ehem… Ehem…” Dia cuba menarik perhatian Balqis dan Aniq, namun tidak diendahkan.
“ Balqis, Aniq!” Najwa memanggil. Mereka menoleh ke wajah Najwa hampir serentak.
“ Korang ok ke? Dari tadi diam je.” Balqis tetap meneruskan langkahnya untuk pulang ke rumah. Begitu juga dengan Aniq.
“ Aku ok. Tapi, aku tak tahu pula Balqis ni.” Selamba Aniq menjawab.
Balqis menoleh tajam ke wajah Aniq. Aniq membalas pandangannya sambil menaikkan kening sebelah kanannya.
“ Aku ok. Tak sakit apa-apa pun, cuma sakit hati je.” Balqis menjeling Aniq.
“ Korang gaduh ke?”
“ Eh, tak adalah!” Aniq cepat-cepat mencelah.
“ Dah tu? Kenapa Balqis sakit hati?”
“ Entahlah dia tu.” Balqis hanya tunduk membisu.
“ Kau sakit hati pasal apa, Qis?” Perasaan ingin tahu Najwa membuak-buak.
“ Kongsilah kat aku.” Najwa cuba mendesak.
“ Nanti ada orang sakit hati pula.” Balqis melihat ke wajah Aniq.
“ Nantilah aku call kau, aku ceritakan kat kau ek. Oklah, aku balik dulu. Terima kasih Najwa. Bye, assalamualaikum.”
Balqis membuka pintu pagar.
“ Eh, aku, kau taknak ucap terima kasih juga ke? Penat tahu aku hantar kau.”
“ Em, terima kasih.”
“ Macam tak ikhlas je.”
“ Memang pun.” Balqis menjeling Aniq. Najwa tersenyum melihat tingkah laku mereka yang macam budak-budak.
Balqis membuat ‘temu janji’ dengan Najwa kerana dia tidak sempat untuk berkongsi dengan rakannya, oleh sebab dia telah sampai ke rumahnya. Najwa bersetuju dengannya. Najwa dan Aniq pulang ke rumah masing-masing. Mereka berpisah di rumah Balqis. Kedua-duanya pergi ke haluan masing-masing.
Balqis memberi salam dan melangkah masuk ke dalam rumahnya. Bau masakan ibunya sehingga menerjah ke ruang tamu. Balqis terus ke ruang dapur, melihat menu masakan ibu untuk tengah hari ini. Beg sekolahnya diletakkan di lantai bersebelahan dengan meja makan. Dia menggapai pinggan dan gelas. Penutup periuk nasi dibuka. Senduk pula dicapai olehnya. Belum sempat dia menyenduk masi ke pinggannya, tangannya dipukul. Senduk terlepas dari tangannya. Dia mendengus. Siapa yang berani menghalang selera makannya? Memang nak makan kaki aku ni! Dia bermonolog. Kakinya yang bersaiz sembilan sentiasa menjadi ejekan, tetapi kadang-kala ia juga boleh dibuatkan senjata ugutan. Dia melihat wajah yang cuba menghalang niatnya itu.
“ Eh, pergi mandi dulu. Lepas tu solat. Belum mandi lagi ada hati nak makan. Pergi sana.”
“ Alah, bu. Kak Long dah lapar ni. Nampak ayam masak merah ibu lagi, bertambahlah lapar.”
“ Ah, tak ada. Pergi dan solat dulu. Dah nak habis waktu ni. Cepat.”
“ Nanti tak khusyuk sembahyang Kak Long. Kak Long makan dululah ek.”
“ Kak Long, dengar cakap ibu. Ibu tahu Kak Long cuba lambat-lambatkan solat. Bila dah pindah Sabah ni, perangai Kak Long makin menjadi-jadi pula. Dah, pergi sana!”
Balqis tunduk. Dia meletakkan kembali pinggan dan gelas. Periuk nasi ditutup kembali. Dia mengambil beg yang diletakkan di atas lantai tadi. Mengorak langkah ke bilik. Ibu Balqis semakin tegas terhadapnya sejak kebelakangan ini. Apa kena dengan ibu ni? Dia melangkah masuk ke biliknya. Beg sekolahnya yang berjenama Body Glove diletakkan di tempat yang sepatutnya iaitu di bawah meja belajar. Tudung dibuka. Tuala dicapai. Tudung sekolahnya dicampakkan ke dalam bakul yang telah disediakan khas oleh ibu untuk pakaian kotor. Kaki kirinya memijak lantai tandas yang beralaskan mozek merah jambu.
Setelah selesai membersihkan tubuh badan, Balqis terus menunaikan solat Zuhur. Dia merasakan dirinya lebih segar daripada sebelumnya. Telekung putih yang bersulam bunga berwarna ungu di bawahnya disarung untuk menunaikan solat.
Seusai doa ditipkan kepada Yang Esa, Balqis lekas-lekas melipat telekungnya itu. Telekung diletakkan di atas rak buku. Balqis segera turun ke ruang dapur. Anak-anak tangga dituruni dengan cepat sekali. Pinggan dan gelas diambil sekali lagi. Periuk nasi dibuka. Senduk dipegang. Nasi dicedok ke pinggan kaca. Punggungnya dilabuhkan ke kerusi. Lauk kegemarannya, ayam masak merah diletakkan ke atas nasi putih. Air sejuk dituangkan ke dalam gelas. Airnya dihirup sekali untuk pembuka selera. Segar. Tangannya sudah gatal untuk mengambil dan menyuap makanan itu ke dalam mulutnya.
Pap!
“ Aduh!” Tangan Balqis merasa sakit.
Sekali lagi tangannya dipukul. Siapa lagi yang berani menghalang selera makannya?
“ Hei, baca doa dulu. Ni dah cuci tangan belum?” Ibu Balqis rupa-rupanya memerhatikannya dari tadi.
“ Dah. Ibu ni suka kacau selera orang. Kak Long nak baca doalah ni.”
“ Ibu ingatkan sahaja.”
“ Baik, bu. Terima kasih.” Balqis mengukir senyuman.
Suapan demi suapan dimasukkan ke dalam mulutnya. Enak. Balqis menjamah makanannya seperti sudah seminggu tidak makan. Kasihan. Seperti kelaparan. Mungkin kerana tadi dia tahan untuk makan. Ibu Balqis tersenyum melihat gelagat anak perempuan tunggalnya itu. Dia duduk di sisi Balqis. Balqis melihat wajah ibunya sambil meratah ayam masak merah itu. Ibu menghadiahkan senyuman.
“ Ibu, makan.” Balqis mengajak walaupun nasi penuh di dalam mulutnya. Ibu mengangguk.
Ibu menatap wajah anaknya sedalam-dalamnya. Kekhusyukan Balqis menjamah makanan terganggu dengan tatapan ibu.
“ Kenapa, bu? Kak Long makan comot ke?” Ibu menggeleng. Balqis berhenti menyuap makanan ke dalam mulutnya seketika.
“ Dah tu?”
“ Esok, ibu dan ayah nak balik kampung. Ada urusan sedikit. Kamu tolong jaga rumah ya. Tolong jaga adik-adik kamu. Uruskan apa-apa yang patut.”
“ Ha?! Ibu dengan ayah nak balik kampung? Kenapa kita orang tak ikut?”
“ Kamu nak buat apa kat kampung tu? Menyibuk? Lebih baik kamu pergi sekolah.”
“ Alah, ibu. Kak Long mana tahu nak urus-urus rumah ni. Masak pun Kak Long tak reti. Macam mana nak bagi adik-adik makan? Mati kebuluranlah kami nanti.”
“ Jadi, tak reti-reti lagi nak belajar?”
“ Macam mana nak belajar? Ibu pergi esok. Nak belajar dengan siapa?” Balqis mengeluh.
“ Belajar sendirilah.” Ibu menguntum senyuman sinis.
“ Kenapa ibu nak balik kampung?”
“ Ibu nak tengok-tengok tanah kat sana.”
“ Tanah? Kita nak pindah Selangor balik ke?”
“ Itu tak pasti pula. Dahlah, tak perlulah kamu tahu semua ni. Kamukan anak sulung. Jadi, kamu boleh tolong ibukan?”
“ Tak boleh!” Suapan terakhir dimasukkan ke dalam mulutnya.
“ Kamu ni cantik je, tapi satu kerja rumah pun tak boleh buat.”
“ Ibu ni, sampai hati ibu cakap macam tu.” Dia memuncungkan bibirnya.
Pinggan dan gelas dibawa ke sinki untuk dicuci. Pili air dibuka. Pinggan yang kotor, dibasuh. Dia kembali ke kerusi.
“ Ibu, janganlah lama-lama sangat balik sana. Nanti porak peranda pula rumah ni oleh kami.”
“ Sebab itulah ibu suruh Kak Long jaga. Urus semuanya. Baju kotor, dibasuh. Lantai, disapu. Kalau ada masa, lap-lap apa yang patut.”
“ Yalah, bu.” Keluhan kecil dilepaskan.
Adakah bebanan ibu akan aku tanggung mulai hari esok? Aduh! Pening kepalanya kalau difikir-fikirkan kembali. Kalau diikutkan hati, memang dia nak menolak sekeras-kerasnya, tetapi Balqis terimanya sebagai cabaran. Jika tidak, sampai bila-bila dia tidak pandai berdikari.
Thursday, May 6, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment