Sunday, May 23, 2010

Menagih Cinta Dia 8

Setelah deringan loceng berbunyi, menandakan tamatnya waktu persekolahan pada hari Selasa ini, seperti biasa, Aniq, Balqis dan Najwa pulang bersama-sama. IrsYad bertekad yang dia tidak akan memulangkan kertas itu pada hari tersebut. Dia tidak mahu keadaan akan menjadi tegang. Dia gentar jika Aniq akan salah sangka terhadapnya. Dia tidak ingin hubungan antara Balqis dan Aniq menjadi renggang akan kehadirannya di sekolah itu. Irsyad menyimpan kertas tersebut ke dalam poket seluarnya.

“ Syad, aku balik dulu! Kau balik dengan siapa?” Syafiq tiba-tiba menyapa dan membuatkan dia terkejut kecil.

“ Ayah aku ambil. Kau?”

“ Kita orang kat sini, kebanyakannya jalan kaki. Rumah aku dekat je. Taknaklah membazir minyak kereta bapa aku tu.” Ketawa berderai dari mulut mereka sambil menuju ke pagar sekolah.

“ Oh. Bagus-bagus.”

“ Oklah, Syad. Aku balik dulu. Assalamualaikum.”

“ Waalaikumussalam.” Mereka berjabat tangan lalu membawa diri ke haluan masing-masing.

Beberapa minit kemudian, ayah Irsyad pun menjemput Irsyad di pintu pagar sekolah. Dia tersedar akan banyak mata yang melihatnya, namun dibiarkan sahaja mereka semua itu. Setiap pergerakan Irsyad dilihat oleh hampir semua pelajar.

“ Semua tu kawan Irsyad?” Ayah mengajukan soalan sejurus sahaja Irsyad masuk ke kereta.

“ Em.” Irsyad mengiakan kata-kata ayahnya, walaupun dalam hatinya berbelah bahagi. Sememangnya segelintir daripada mereka ialah kawannya, namun selebihnya mungkin akan dia kenal satu hari nanti.

“ Oh. Macam mana dengan persekolahan hari ni?” Irsyad terdiam, memikirkan jawapan yang sesuai untuk diberikan kepada ayahnya.

Dia bertekad untuk menyimpan perkara yang telah berlaku di sekolah tadi. Dia tidak mahu ayahnya risau akan keadaannya lagi. Selama ini, dia tidak pernah menipu ayahnya tentang sesi persekolahan di sekolah lamanya, namun adakah dia perlu menipu ayahnya semata-mata untuk menyembunyikan hal ini? Keluhan kecil dilepaskan.

“ Alhamdulillah, baik saja ayah. Cuma mencabar sedikit.”

“ Apa yang mencabar?”

“ Yalah, macam ayah cakap hari tu, nak sesuaikan dengan persekitaran, bahasa kawan-kawan yang agak janggal bagi Syad. Bahasa dia orang memang bahasa baku ke, yah? Lain macam je rasanya.” Irsyad tergelak kecil.

“ A’ah. Bahasa dia orang memang macam tu. Alah, Syad. Nanti lama-lama, oklah tu.”

Ya Allah, perlukah aku berlakon sebegini di hadapan ayahku yang selama ini memberiku dorongan dalam apa-apa perkara sekali pun? Semata-mata hanya sekeping kertas, luahan hati Balqis? Perlukah aku ambil berat tentang semua ni? Irsyad menarik nafas panjang dan dilepaskan perlahan-lahan.

“ Kenapa, Syad? Ada masalah ke?” Ayah mendengar helaan nafas Irsyad walaupun perlahan. Dia dapat rasakan ada yang tidak kena dengan anak sulungnya itu.

“ Tak ada apa-apa, yah. Cuma penat sikit je hari ni.” Irsyad mengukir senyuman pada bibirnya. Ayah mengangguk faham. Dia tidak ingin memaksa anaknya itu untuk memberitahu masalah yang menghempap dirinya.

Di satu persimpangan jalan, Balqis berhenti. Aniq dan Najwa turut berhenti. Mereka pelik.

“ Kenapa, Qis?” Soal Najwa kepada sahabatnya itu.

“ Korang kalau nak balik dulu, korang pergilah ek. Aku nak jemput adik aku kat sekolah.”

“ Ayah kau tak ambil dia orang ke? Bukan ke selalu ayah kau yang jemput dia orang?”
Timbul perasaan hairan di benak Aniq. Balqis hanya mampu mengukir senyuman, walaupun hakikatnya, hatinya penuh dengan kesedihan.

“ Aku temankan kaulah, Qis.” Najwa segera memotong.

Najwa terus memegang lengan Balqis dan menemankan dia ke sekolah adiknya. Sekolah adik Balqis tidak jauh dari sekolahnya. Kalau berjalan kaki, hanya mengambil masa lebih kurang 15 minit sahaja.

“ Woi, aku macam mana?” Teriak Aniq. Najwa menoleh.

“ Kau baliklah dulu.” Najwa melambaikan tangannya. Aniq tercengang melihat tingkah laku dua sahabat baik itu.

“ Berapa hari ibu dengan ayah kau kat sana?” Najwa cuba bersuara untuk menghilangkan suasana sepi dan suram yang menyelubungi sepanjang perjalanan mereka menuju ke sekolah adik Balqis.

“ Kata ayah aku, mungkin dua minggu. Tapi, aku macam dapat rasakan, ayah dengan ibu aku kat sana lebih dari dua minggu. Sebab aku rasa banyak yang nak diuruskan kat sana.” Ujar Balqis dalam nada yang perlahan.

Sebelum sampai ke pagar sekolah adik-adiknya, Fawwaz dan Afzal sudah dapat melihat kelibat Balqis dan rakannya, Najwa. Mereka terus berlarian untuk berjumpa dengan kakak sulungnya itu, yang akan menggantikan tugas ibunya mulai hari ini. Mereka bersalaman dengan Balqis dan Najwa.

“ Kak Long, kenapa lambat gila. Lama dah kita orang tunggu tau. Sampai dah nak basi kita orang kat sini tau.” Fawwaz yang bermulut celupar itu berbebel. Najwa tergelak melihat karenah adik Balqis. Dia menggelengkan kepala. Petah sungguh budak ini bercakap.

“ Eh, dah untung Kak Long datang jemput kamu tau. Nasib baik Kak Long ingat. Kalau tak ingat? Ha, padan muka. Sampai tahun depanlah korang kat sini.” Balqis, Najwa dan Afzal melontarkan ketawa mereka. Fawwaz mencebikkan bibirnya.

“ E’eleh. Kecoh arr Kak Long.” Fawwaz tetap tidak mahu mengalah dengan kakaknya itu.

“ Dia yang kecoh macam murai, cakap orang pula. Dah, cepat. Nak balik tak? Membebel je dari tadi.” Balqis mula mengatur langkah untuk pulang ke rumah. Begitu juga dengan Najwa dan Afzal. Fawwaz berlari-lari anak untuk pulang bersama. Dia benar-benar kalah hari ini.

Setelah Irsyad selesai menunaikan solat Zuhur, dia merebahkan badan ke katil. Mindanya kembali bekerja mengingati peristiwa yang telah berlaku di sekolah tadi. Apa ek kerja rumah yang cikgu-cikgu bagi tadi? Aku macam miss somethinglah. Irsyad cuba mengembalikan ingatannya kepada tugasan yang telah diberikan oleh guru-guru di sekolah tadi. Dia seperti tidak selesa. Ada yang hilang di ingatannya. Dia berusaha untuk kembalikannya.

Kertas tu! Mana aku letak? Seluar aku! Akhirnya ingatannya dapat dikembalikan. Namun, kebiasaannya pakaian sekolahnya telah dibasuh oleh ibu pada waktu-waktu sebegini. Dia lekas-lekas turun ke tempat pakaian kotor. Bakul yang tadinya penuh dengan pakaian, kini telah kosong. Dia segera mencari ibunya.

“ Ibu! Ibu!” Irsyad memanggil.

“ Ya.” Ibu menyahut. Irsyad segera menuju ke tempat ibu.

“ Ibu, ibu dah cuci seluar Syad ke?”

“ Seluar Syad? Rasanya dah. Kenapa?” Ibu mengukir senyuman. Terbelalak mata Irsyak mendengar jawapan ibunya.

“ Ibu… Ibu ada ambil tak… Tak apalah,bu” Irsyad mengorak langkah. Lemah. Macam mana ni?

“ Syad.” Langkah Irsyad terhenti. Irsyad menoleh ke arah ibunya.

“ Ini ibu jumpa kat dalam poket Syad tadi. Nah. Ini ke yang Irsyad cari?” Ibu menunjukkan kertas yang berlipat itu. Irsyad terus mengambilnya dari tangan ibu.

“ A’ah. Terima kasih, bu. Ibu ni buat saspens je.” Irsyad menghadiahkan senyuman. Ibu hanya tersenyum melihat anak sulungnya itu.

“ Kertas apa tu?”

Irsyad terdiam. Perlukah aku menipu lagi? Dia mengetap bibir.

“ Ni kertas kawan Syad. Kertas ni tercicir, jadi Irsyad bawa balik. InsyaAllah, esok ke, Syad bagi baliklah.”

“ Oh.” Ibu mengangguk faham.

“ Ibu, Syad naik atas dulu. Nak rehat.” Ibu mengangguk lagi.

Irsyad terus menaiki tangga dengan hati yang terselit sedikit gembira. Namun, terselit juga rasa gundah gulana jika dia teringat akan isi yang tertulis di kertas itu. Dia menggenggam erat kertas itu di telapak tangannya. Aku kena pulangkan kertas ini esok. Aku tak boleh simpan kertas ni. Kertas ni bukan milik aku. Mindanya memberi cadangan. Setibanya di bilik, dia meletakkan kertas kepunyaan Balqis di atas meja tulisnya. Dia takut kalau dia terlupa untuk membawanya ke sekolah pada esok hari. Dia berbaring di ranjangnya semula. Kelopak matanya perlahan-lahan menutupi matanya itu.

“ Kak Long, mana bakul kain kotor angah?” Fawwaz menjerit.

Balqis yang baru sahaja ingin masuk ke dalam biliknya terus sahaja bergegas turun ke tempat cuci kain. Dia mengambil bakul pakaian kotor adiknya yang berwarna merah. Dia berlari anak ke kamar Fawwaz.

“ Nah, ambil ni. Ambil sendiri tak boleh ke?” Balqis menghulurkan bakul kosong itu kepada Fawwaz. Fawwaz mengambil dan meletakkannya di tepi pintu tandas di dalam biliknya.

“ Ibu selalu dah sediakan kat sini.” Fawwaz menunjukkan tempat letaknya bakul tersebut.

“ Sekarang, ibu tak ada kat rumah. Jadi, pandai-pandailah ambil sendiri.”

“ Kalau ibu tak ada kat rumah, Kak Longlah yang buat.”

“ Ish, budak ni! Kang ada juga yang makan kaki aku nanti.” Balqis terus berpaling dan keluar dari kamar adiknya itu.

“ Kak Long!” Afzal yang ada di dapur pula memanggil. Balqis turun semula.

“ Kenapa, Zal?”

“ Ibu tak masak nasi.”

“ Ha?! Biar betul?” Balqis segera membuka penutup periuk nasi. Dia membuka juga tudung saji di meja makan.

“ Ibu dah masak lauk untuk kita, tapi ibu tak masak nasi. Zal dah lapar ni.” Balqis menggaru kepalanya yang tidak gatal itu.

“ Macam mana nak masak nasi?”

“ Tanya Zal pula. Mana Zal tahu.”

Balqis terus mencapai telefon rumahnya.

“ Najwa.”

“ Kenapa, Qis?”

“ Kau tahu tak macam mana nak masak nasi?”

“ Masak nasi? Alah, senang je.”

“ Kejap.” Balqis mengambil kertas kosong dan pen berdekatan dengan telefon rumahnya itu.

“ Ok, apa?” Sambung Balqis.

Najwa memberitahu Balqis satu persatu cara untuk menanak nasi. Tiada satu cara pun yang tercicir. Setiap butir kata, disalin oleh Balqis.

“ Itu jelah yang perlu buat. Ada apa-apa lagi?”

“ Bila kau nak datang rumah aku?”

My dad tak bagi datang hari ni. InsyaAllah, esok.”

It’s ok. Thank you, Najwa.”

You’re welcome. Kalau ada apa-apa, just call me ok.”

“ InsyaAllah. Assalamualaikum.”

“ Waalaikumussalam.”

Balqis terus meletakkan ganggang telefon. Dia terus menuju ke dapur.

“ Zal, zal mandi dulu ya. Lepas tu solat. Kak Long masak nasi dulu.”

“ Lama tak, Kak Long?”

“ Tak lama. Lebih kurang 20 minit.”

“ Dua puluh minit?” Balqis mengangguk.

“ Lamanya, Kak Long. Zal dah lapar ni.”

“ Alah, tak lama pun. Dah pergi sana.” Afzal hanya menuruti arahan kakaknya itu. Dia memegang perutnya yang dari tadi berkeroncong.

Balqis terus melaksanakan tugasannya untuk menanak nasi untuk adik-adiknya yang kelaparan itu. Hatinya sayu apabila mengenangkan kata-kata ibunya semasa waktu rehat di sekolah tadi.

“ Kak Long, mulai hari ni Kak Long kena uruskan semua perkara yang berkaitan dengan rumah. Ibu bukan nak dera Kak Long atau nak menyeksa Kak Long buat semua ni, tetapi ibu terpaksa. Kalau ikutkan hati ibu, ibu mana yang nak tengok anaknya susah, bukan? Tapi, Kak Long boleh tolong ibukan?” Balqis menangguk perlahan.

“ Kak Long, belajar rajin-rajin. Ingat Allah. InsyaAllah, nanti kalau ibu dah sampai KLIA, ibu telefon Kak Long.” Ibu memeluk erat akan tubuh Balqis. Najwa yang berada di sebelah Balqis hanya melihat sahaja.

“ Ibu jangan lupa kirim salam saudara-mara kat sana ek. Belikan oleh-oleh sekali.” Balqis membisikkan ke telinga ibunya ketika dalam pelukan. Ibu melihat air muka Balqis, lalu menghadiahkan senyuman. Balqis juga menyimpulkan senyuman.


Setitik air jernih jatuh dari mata Balqis semasa membersihkan beras. Balqis menyeka air jernih itu. Dia memasukkan periuk nasi itu ke dalam tempatnya dan menghidupkan suisnya. Tiba-tiba, telefon rumahnya bordering. Dia terus mengangkat ganggang telefon.

Hello, assalamualaikum.”

“ Waalaikumussalam.” Suara yang didengari di telefon mebuatkan hati Balqis girang.

“ Ibu! Ibu dah sampai?”

“ Alhamdulillah, dah. Kak Long tengah buat apa? Mana adik-adik?”

“ Kak Long tengah masak nasi. Adik-adik kat atas, solat agaknya.”

“ Masak nasi? Anak perempuan ibu dah pamdai masak nasi?” Sakat ibu. Balqis dan ibu
ketawa.

“ Ibu ni.”

“ Siapa yang ajar?”

“ Najwa.”

“ Oh.”

“ Ayah mana, bu?”

“ Ada kat sebelah ni. Kenapa nak cakap dengan ayah?”

“ Tak apalah. Ibu, kenapa ibu tak masakkan nasi?”

“ Sengaja.”

“ Kenapa?”

“ Ibu nak Kak Long berdikari. Ha, sekarangkan dah pandai masak nasi. Kalau ibu
sediakan semua, Kak Long nanti tak pandai masak nasi macam sekarang.” Ibu gelak.

“ Ibu ni. Tapi, betul juga.” Balqis turut ketawa.

“ Mana angah dengan Afzal?”

“ Ibu nak cakap dengan dia orang?”

“ A’ah.”

“ Sekejap ya, bu.”

Balqis terus berlari menaiki tangga, menuju ke bilik Fawwaz yang juga sebilik dengan Afzal.

“ Angah, Zal, ibu nak cakap dengan korang.” Ujar Balqis, walaupun sedikit tercungap-cungap.

Kedua-dua mereka terus keluar dari bilik dan berlari mendapatkan ganggang telefon. Balqis hanya berjalan. Penat melanda dirinya setelah sepuas hati berlari ketika menaiki tangga. Berebut mereka berdua ingin bercakap dengan ibu dan ayahnya. Balqis membiarkan kelakuan mereka. Malas ingin melayan karenah adik-adiknya.

“ Ibu, Kak Long baru nak masak nasi. Zal dah Lapar.” Afzal, anak bongsunya mengadu. Balqis terus membesarkan matanya. Apa yang dibincangkan pun dia tidak mahu ambil kisah.

Selepas Afzal puas mengadu dan bercerita, Fawwaz pula menggantikannya. Budak itu, yang petah bicaranya kadang-kadang buat aku ketawa melihat gelagatnya. Mulutnya, ya Allah, macam murai. Balqis tersenyum sendirian.

“ Kak Long, nah ibu nak cakap dengan Kak Long.” Fawwaz menghulurkan ganggang telefon kepada Balqis.

“ Dah puas mengadu?” Balqis tersenyum sinis.

“ Dah.” Fawwaz menjeling. Balqis mengambil telefon dari tangan Fawwaz.

Fawwaz dan Afzal masuk ke bilik mereka semula.

“ Ya, bu.”

“ Oklah, Kak Long. Jaga diri baik-baik ya. Adik-adik pun. Ayah kamu kirim salam semua. Ibu dah nak gerak ke Selangor ni. Bye, assalamualaikum.”

“ InsyaAllah, bu. Kirim salam sayang buat ayah juga ya. Waalaikumussalam. Bye. Hati-hati ek.” Talian telefon diputuskan. Balqis meletakkan telefon ke tempatnya.

Nasi! Balqis terus menuju ke dapur. Dia melihat lampu butang ‘cook’ telah pun menyala. Dia mematikan aliran eletrik. Dia terus menaiki anak-anak tangga rumahnya. Pintu bilik adiknya diketuk.

“ Zal, pergi makan sana. Ibu dengan ayah, kirim salam korang.” Afzal terus bangun dengan bersemangat. Salam disambut mesra.

“ Dah sembahyang belum ni?” Langkah Afzal terhenti.

“ Dah.” Balasnya dan terus berlari turun ke ruang dapur.

“ Angah, pergi makan sana. Temankan Zal.” Fawwaz mengangguk. Kali ini tiada bantahan.

Balqis memasuki ke ruang kamarnya. Dia terus mengambil tuala, lalu membersihkan diri. Seusai solat Zuhur, dia terus turun ke ruang tamu. Biasanya, dia akan berehat sehingga waktu Asar tiba, namun hari ini, dia menuju ke ruang tamu untuk melihat keadaan adik-adiknya. Anak tangga yang terakhir dipijak, dia tersenyum melihat gelagat adik-adiknya itu.

“ Angah, Zal, bangun. Tidur kat bilik sana. Selesa sikit.” Balqis mengejutkan adik-adiknya yang telah terlena di ruang tamu.

“ Malaslah, kak. Nak naik tangga lagi. Penat.” Fawwaz bersuara perlahan. Afzal sudah dibuai mimpi agaknya. Terlalu lena tidurnya, Balqis melihat adik bongsunya itu.

Balqis memeriksa semua pintu. Semua pintu telah dikunci. Beres. Balqis mengambil bantal sofa di ruang tamunya itu. Dia juga menyertai adik-adiknya. Pabila kepala diletakkan ke bantal, Balqis terus terlena. Rumahnya menjadi sunyi sepi.

No comments: