Sunday, May 9, 2010

Menagih Cinta Dia 5

Kring! Kring! Telefon rumah Balqis berdering pada pukul 9.05 malam. Ganggang telefon diangkat dan dijawab oleh adik Balqis, Fawwaz.

“ Kak! Kak! Telefon!” Balqis yang sedang menyiapkan kerja rumah di biliknya sambil mendengar lagu kegemarannya oleh Justin Bieber yang bertajuk One Time, terkejut akan jeritan adiknya itu. Suaranya lebih kuat berbanding mp3 yang dipasang.

“ Kak, cepatlah!”

Balqis bergegas turun ke bawah untuk menjawab panggilan telefon tersebut.

“ Wei, tak boleh panggil elok-elokkah?” Balqis sempat mengomel semasa dalam perjalanan ke tempat telefon diletak.

“ Habis, lambat betul turun.”

“ Fawwaz, cakap dengan kakak tu baik-baik.” Ibu menasihatkan anak keduanya itu. Balqis melihat wajah Fawwaz, lalu menjelirkan lidahnya. Kali ini dia yang menang. Fawwaz menjelingkan matanya. Ganggang telefon diangkat.

Hello, assalamualaikum.”

“ Waalaikumussalam.”

“ Eh, Najwa. Kenapa?”

“ Woi, Mak Cik Balqis. Kau dah lupakah kau patutnya yang telefon aku.”

“ Asal pula?”

“ Kaukan nak bagi tahu aku pasal masalah kau dengan Aniq tadi masa balik sekolah.”

“ Oh, yalah. Aku lupa. Sorry. Najwa, aku rasa tak perlulah aku ceritakan sebab tak penting pun.”
“ Kenapa pula tak penting? Yang kau merajuk sakan dengan Aniq tu kenapa?”

“ Tak ada apa-apalah. Kau dah siapkan homework belum?”

“ Dah. Baru je siap terus aku telefon kau. Nak tunggu kau telefon, sampai tahun depan jelah.”

“ Wei, aku nak siapkan homework dulu. Homework aku belum siap lagi.”

“ Habis cerita kau?”

“ Mana ada cerita. Esok-esok jelah aku cerita dengan kau. Itu pun kalau aku ingat. Oklah, Najwa. Esok kita jumpa kat sekolah ek. Banyak lagi kerja aku belum siap ni. Assalamualaikum.”

“ Wa…” Tet,tet.

Balqis meletakkan ganggang telefon ke tempatnya. Talian telefon terputus. Najwa agak bengang dengan perbuatan Balqis yang terus memutuskan talian telefon.

“ Waalaikumussalam.” Najwa menghabiskan perkataan yang tadinya tergantung.

Pena yang rancak menyiapkan kerja rumahnya tiba-tiba terhenti. Idea yang tadinya banyak, tiba-tiba kering kontang. Karangan Bahasa Melayu yang cuba disiapkan, kini hanya ditatapi. Balqis cuba menenangkan minda dan hati. Dia cuba untuk menyambung penulisannya, tetapi akalnya seperti mati. Nafas ditarik sedalam-dalamnya dan dilepaskan sepuas hati.

Kertas kajang kosong lebih menarik perhatiannya. Tiba-tiba satu idea yang tidak dijangka menerjah ke ruang minda. Pen biru diambil, perasaan yang tersirat di hati diluahkan atas kertas itu. Rasa ‘ringan’ kepala setelah meluahkan segalanya. Dia menyelitkan kertas yang sudah bertinta itu di belakang buku karangannya itu. Balqis menyambung kembali kerja yang tertangguh. Perenggan terakhir disiapkan dengan bangganya. Noktah di akhir ayat menamatkan segalanya. Kerja rumahnya telah pun disiapkan. Buku-buku yang berselerak di meja, disusun kembali. Pen yang bertebaran dimasukkan ke dalam kotak penselnya yang berwarna biru. Penat.

Balqis meletakkan kepalanya ke bantal. Dia tersenyum sendiri apabila teringat isi kandungan yang ditulis di kertas tadi. Ah, apa yang merasuk diriku tadi? Dia tergelak kecil. Nasib baik tiada yang melihat.

Tok! Tok! Daun pintu bilik Balqis diketuk. Mata yang baru ingin terpejam dek khusyuk melihat putaran kipas, terbeliak sejurus mendengar ketukan itu. Belum sempat dia berdiri untuk membuka pintu, wajah ibu sudah terpampang di ambang pintu.

“ Tidur ke?”

“ Baru je nak terlelap. Kenapa, bu?”

“ Tolong ibu kemaskan baju, boleh?”

“ Em, boleh.”

“ Kalau tak boleh, tak apa.”

Balqis terus berdiri dan menuju keluar bilik. Ibunya faham akan perasaan Balqis yang sedang dalam kepenatan, tetapi dia biarkan. Bukan tidak merasa kasihan akan anaknya, tetapi ingin melatih dia supaya berdikari. Baju-baju yang hendak dibawa ke kampung sudahpun dimasukkan ke dalam beg. Semuanya telah disediakan. Cuma perlu diangkat dan dibawa pergi.

“ Esok ibu bertolak pukul berapa?”

“ Lebih kurang pukul sepuluh.”

“ Pagi ke malam?”

“ Pagi.”

“ Jadi kami tak sekolahlah esok.”

“ Siapa kata?”

“ Habis tu?”

“ Sekolahlah. Kamu tak perlu nak hantar ibu dan ayah pergi airport.”

“ Em. Yalah.” Balqis tidak melawan kata-kata ibunya. Kali ini, dia hanya mampu bersetuju.

“ Terima kasih ek, Kak Long. Dah, pergilah tidur. Esok nak sekolah”

“ Em. Kak Long tidur dulu. Assalamualaikum.”

“ Waalaikumussalam.”

Balqis melangkah keluar dari bilik ibunya dan terus menuju ke biliknya. Pintu bilik ditutup. Dia duduk di atas katilnya. Dia menekup mukanya, tiba-tiba setitis air mata jatuh ke lantai pipi. Hatinya berkecamuk, tidak tentu hala. Apa yang harus aku lakukan? Mampukah aku? Atau aku akan mati kebuluran? Aduhai! Variasi persoalan menghempap ke ruang mindanya. Kepalanya diletakkan ke bantal. Kaki dilunjurkan.

“ Ya Allah, kuatkanlah hatiku.” Doa terakhir sebelum tidur dititipkan kepada Yang Maha Memahami. Titisan air mata yang terakhir mengalir ke permukaan bantal. Senyap.

No comments: