Thursday, May 13, 2010

Menagih Cinta Dia 6

Kerusi meja makan ditarik keluar. Balqis duduk di atasnya. Sarapan pagi pada hari ini amat sederhana. Selalunya ibu akan masak nasi goreng, bihun goreng, nasi lemak, paling tidak pun kuih muih. Contohnya, pisang goreng, karipap, donut, popia dan sebagainya. Ibu memang bijak dalam bab memasak. Tetapi, hari ini hanya sebuku roti, kaya, susu junjung, mentega dan mentega kacang sahaja yang terhidang di meja makan. Adik-adik Balqis, Fawwaz dan Afzal sudah lebih awal lagi sampai di meja makan berbanding dia. Balqis merenung setiap makanan yang terhidang. Dia menarik nafas panjang.

“ Kak Long, kenapa tengok je roti tu dari tadi? Makan arr. Malu-malu lagi. Cepatlah sikit, nanti lambat pula nak pergi sekolah.” Fawwaz tiba-tiba bersuara.

Balqis terkejut. Adik-adiknya menatap tepat ke wajah kakak sulungnya itu. Rupa-rupanya, Fawwaz dan Afzal daripada tadi melihat tingkah lakunya yang agak pelik. Biasanya Balqis yang paling bising kalau pagi-pagi begini, tetapi hari ini dia yang paling diam. Balqis tersenyum pahit. Dia perlahan-lahan mengambil dua keeping roti dan disapukan dengan kaya.

“ Kak Long, Kak Long kenapa?” Afzal yang baru berumur 10 tahun itu bertanya.

“ Tak ada apa-apa, Zal. Zal nak bawa bekal?”

“ Nak!” Afzal mengangguk.

“ Angah pun nak.” Fawwaz mencelah.

Balqis mengambil tiga buah tupperware.

“ Ibu mana, ngah?”

“ Kat bilik, tengah kemas-kemas. Kak Long dah tahu ke yang ibu…”

“ Nak balik kampung.” Balqis memotong.

“ Mana Kak Long tahu?”

“ Ibu bagi tahu semalam.”

“ Semalam?” Balqis mengangguk.

“ Kita orang tahu dari minggu lepas lagi.” Balqis merenung wajah Fawwaz. Dia berdiam diri.

“ Zal nak letak apa?”

“ Susu junjung.” Afzal menjawab walaupun mulutnya penuh dengan roti.

“ Angah?”

Peanut butter,please.” Afzal dan Fawwaz ketawa.

Balqis menggelengkan kepala. Semasa Balqis sedang tekun menyapu mentega kacang ke atas roti kepunyaan Fawwaz, tiba-tiba bahu Balqis ditepuk. Balqis terperanjat. Nasib baik roti tersebut tidak melayang ke muka orang yang menepuk bahu Balqis.

“ Ha, macam nilah baru namanya Kak Long.”

Rupa-rupanya, ibu yang menyapa. Kelihatan Fawwaz dan Afzal ketawa kecil. Balqis memandang ke wajah dua orang adiknya itu. Mereka menutup mulut, tetapi badan mereka masih bergetar, menahan ketawa.

“ Dah, cepat sikit. Nanti lambat pula masuk sekolah. Kena denda baru tahu.” Ibu mengingatkan anak-anaknya.

Roti yang belum dimakan terus disumbat ke dalam mulut. Begitulah karenah Fawwaz dan Afzal. Ibu tergelak kecil melihat gelagat anak-anak lelakinya itu.

“ Kak Long, dah siap ke belum?”

“ Dah. Tak Nampak ke ni?” Balqis menutup bekas makanan kedua-dua adiknya.

“ Perlahan-lahan. Jangan gopoh sangat.” Pesan ibu.

Pon! Pon! Hon kereta ayah dibunyikan. Fawwaz dan Afzal bergegas menuju ke kereta, diikuti oleh Balqis dan ibunya. Kelam-kabut mereka berdua menyarung kasut ke kaki. Takut terlambat.

“ Kak Long, cepatlah. Lambatlah Kak Long ni. Tinggal kang baru tahu.” Fawwaz membebel. Kalah-kalah perempuan.

Fawwaz dan Afzal menghulurkan tangan, bersalaman dengan ibunya. Ibu memeluk erat mereka berdua.

“ Ingat, jangan nakal-nakal nanti masa ibu tak ada. Dengar cakap Kak Long tau.”

“ Ok, bu!” Afzan mengenyitkan mata kepada ibunya. Ibu tersenyum gembira. Hai, anak aku ni.

“ Baik, bu. Kami pergi dulu. Ibu jangan lupa telefon kami tau. Mana tahu nanti Kak Long dera kami ke.” Fawwaz tersenyum lebar sehingga nampak barisan giginya yang
putih itu.

Balqis mengerutkan keningnya dan memandang Fawwaz. Budak nikan. Aku bagi makan kaki aku ni baru tahu. Fawwaz berlari-lari anak masuk ke kereta.

“ Kak Long, jaga adik-adik kamu tu baik-baik ek. Ibu percaya yang Kak Long boleh uruskan semua ni dengan baik. Jaga diri baik-baik. InsyaAllah, nanti kalau ibu sempat, sebelum pergi airport, ibu singgah sekolah Kak Long dulu. Ibu tak janji tau. Belajar rajin-rajin ek.” Tanpa disedari setitik air bening jatuh ke pipi Balqis. Tangan ibu dicium. Pelukan erat diberikan. Ibu mengusap air mata itu dengan menggunakan ibu jarinya. Ibu tahu Kak Long boleh. Ibu melemparkan sejuring senyuman.

“ Ibu, hati-hati ek.” Balqis melangkah masuk ke dalam kereta. Lambaian demi lambaian diberikan sehingga kelibat ibu tidak kelihatan.

“ Ayah pergi kejap je. Tak lama pun. Kamu jaga diri baik-baik ya. Fawwaz, Afzal, tolong dengar cakap Kak Long. Jaga rumah baik-baik. Kak Long, jaga diri baik-baik. Solatnya jangan lupa. Jangan pernah ponteng sekolah. Masa inilah, ayah nak kamu berdikari. Ingat, kalau nak pergi mana-mana, hati-hati. Kunci rumahnya, pergi sama-sama. Faham?” Ayah memberi peringatan kepada anak-anak kesayangannya.

Walaupun hatinya terasa berat ingin meninggalkan mereka, namun dia sembunyikan perasaan itu. Mereka hanya berdiam diri. Tiba-tiba, suasana sayu menyelubungi seluruh kereta itu.

“ Ok, dah sampai. Fawwaz dan Afzal, belajar rajin-rajin ek.”

“ Ayah, jangan lupa beli oleh-oleh ek.” Afzal sempat memesan.

Tangan dijabat dan dicium. Ayah meneruskan perjalanan untuk menghantar Balqis ke sekolah.

“ Kak Long, kalau ada apa-apa yang kurang, bagi tahu ayah ek. Lagi satu, ayah ada pesan dengan Pak Mat dan Mak Cik Pidah untuk tengok-tengokkan kamu semua. Jadi, kalau nak minta tolong atau apa-apa je, boleh tanyakan dengan dia orang ya.”

“ InsyaAllah, yah.”

Setelah bersalaman dengan ayahnya, Balqis membuka pintu perlahan-lahan seperti tiada tenaga. Dia melangkah masuk ke kawasan sekolah tanpa menoleh ke belakang untuk melihat ayahnya. Langkahnya lemah. Tidak teratur. Serabut.

“ Assalamualaikum, Balqis!” Bahu Balqis ditepuk. Balqis menoleh perlahan-lahan.

“ Waalaikumussalam, Najwa.”

“ Kau kenapa? Macam tak bermaya je.”

“ Tak ada apa-apa.”

" Kau ni, balik-balik tak ada apa-apa. Mata dah sembam macam tu, masih lagi cakap tak ada apa-apa.” Balqis membisu.

“ Eh, Balqis.” Najwa menahan Balqis. Langkah mereka terhenti di perkarangan sekolah.

“ Aku ni dah lama kenal kaulah. Kau ada masalah ke? Kongsilah kat aku. Bukan aku tak kenal kau. Akukan kawan kau. Takkanlah kau tak percayakan aku? Ceritalah. Tak baik simpan-simpan tau.”

Balqis menekup mukanya. Dia menangis sepuas hati. Najwa tertegun. Dia terkejut akan kelakuan sahabatnya. Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba sahaja berkelakuan seperti ini. Najwa membawa Balqis ke sebuah bangku. Najwa meminjamkan bahunya untuk Balqis. Dia mengusap lengan Balqis supaya dia kembali reda.

“ Balqis, kenapa ni?” Soal Najwa lembut.

“ Najwa.” Kalam Balqis terhenti. Dia menarik nafas panjang untuk menenangkan dirinya.

“ Najwa,ibu dengan ayah aku nak balik kampung hari ni. Pukul sepuluh nanti. Aku terpaksa jaga adik-adik aku seorang diri.” Esakan Balqis masih terdengar.

“ Jadi? Apa masalahnya?”

“ Aku ni mana reti masak, cuci kain, buat kerja-kerja rumah ni. Macam mana aku nak uruskan semua tu nanti. Aku nak uruskan adik-adik aku tu lagi. Dulu, selama lima tahun aku hidup sendiri, sebelum adik aku, Fawwaz lahir. Sekarang aku kena jaga dia orang. Aku tak ada pengalaman. Aku rasa aku tak mampu.”

“ Balqis, percayalah kat aku, kau mampu. Kau jangan risau, akukan ada. Aku boleh tolong kau.” Najwa menggenggam erat tangan Balqis.

“ Kau nak tolong aku? Macam mana?”

“ Aku boleh tidur kat rumah kau. Nanti aku minta izin dengan parents aku ek. Kau janganlah nangis lagi ek.”

“ Najwa, kau memang sahabat aku dunia, akhirat.” Balqis mengukir senyuman.

Najwa mencubit kedua-dua pipi Balqis. Balqis mengaduh kesakitan. Mereka berdiri, meninggalkan bangku tersebut dan mengorak langkah ke kelas.

Selepas bacaan Al-Malthurat selesai pada pagi hari, semua murid bergegas ke kelas masing-masing. Mata pelajaran Bahasa Melayu menjadi pemula jadual pada hari ini. Pembentangan KOMSAS selalunya dilakukan di bilik ICT. Ini kerana, keadaan di sana lebih selesa dan santai berbanding di kelas. Semua murid Tingkatan 5 Zamrud bergerak ke bilik tersebut. Setiap murid telah dibahagikan kepada kumpulan masing-masing untuk pembentangan ini, tetapi kehadiran Irsyad membuatkan Cikgu Farina memilih satu kumpulan yang bertuah untuk memasukkan Irsyad ke dalam kumpulan tersebut.

“ Cikgu, masukkanlah dia kat group kami!” Hampir setiap kumpulan menyuarakannya.

“ Ok, cikgu akan masukkan Irsyad dalam kumpulan Balqis.”

Terbeliak mata Balqis dibuatnya. Aniq yang berada di kumpulan lain melihat setiap gerak-geri Irsyad. Nasib baik Syafiq juga berada di dalam kumpulan yang sama dengan Irsyad. Najwa pula sekumpulan dengan Aniq. Kebetulan benar mereka ini. Cikgu Farina memberi pesanan kepada kumpulan Balqis supaya memberi tunjuk ajar kepada Irsyad. Sepanjang di dalam bilik ICT, Balqis hanya berdiam diri. Rakan-rakan yang sekumpulan dengannya juga hairan akan perilaku Balqis pada hari ini.

“ Nanti kamu semua tolong hantar buku karangan kamu ya. Cikgu dah bagi kamu masa satu minggu untuk menyiapkannya, bukan?” Cikgu Farina berpesan.

“ Cikgu, ini saya ada bawa,” jawab Balqis.

“ Kamu bagi pada ketua kelas ya.”

“ Em. Baik, cikgu.”

“ Sekarang, kamu boleh balik ke kelas.”

Ucapan terima kasih ditujukan kepada Cikgu Farina. Cikgu Farina mengangguk sambil mengemas computer ribanya. Mereka bersempit-sempit di pintu ICT untuk kembali ke kelas, kecuali Balqis, Najwa, Irsyad dan Syafiq. Najwa menemani Balqis yang masih melangkah lemah. Manakala Irsyad dan Syafiq pula tidak suka bersempit-sempit.

No comments: