Wednesday, May 19, 2010

Menagih Cinta Dia 7

“ Eh, apa ni?” Irsyad terjumpa sehelai kertas kajang yang berlipat empat tersadai di lantai balkoni depan bilik ICT.

Irsyad membuka lipatan kertas tersebut untuk mengetahui pemilik kertas yang tercicir itu. Belum sempat dibaca isinya, Syafiq sudah mengajaknya untuk kembali ke kelas. Kertas itu dilipat semula dan dimasukkan ke dalam poket seluarnya. Setibanya di kelas, Teacher Francisca sudah sampai terlebih dahulu ke kelas berbanding murid-murid. Dia sedang duduk di kerusi guru dan melihat muridnya satu persatu masuk ke kelas.

Mata pelajaran Bahasa Inggeris merupakan mata pelajaran yang seronok sekali. Ini disebabkan oleh Teacher Francisca selalu mengadakan kuiz dan sesi soal jawab. Mata pelajaran ini yang dahulunya mambosankan, sekarang sudah menjadi kegemaran setiap pelajar Tingkatan 5 Zamrud. Teacher Francisca merupakan seorang guru yang sentiasa ceria dan sentiasa mempunyai idea-idea baru untuk anak-anak muridnya. Walaupun dia tidak pernah meninggi suara, lagikan marah, jauh sekali. Dia tetap dihormati oleh para murid.

Apabila tamat sudah mata pelajaran Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam pula menggantikannya. Ustaz Hafiz, guru mata pelajaran tersebut masuk ke kelas 5 Zamrud lewat sepuluh minit daripada masa yang telah ditetapkan dalam jadual. Pelajar yang bukan beragama Islam melangkah keluar kelas dan menuju ke bilik ICT untuk menuntut pelajaran Pendidikan Moral. Doa belajar merupakan pembukaan dalam mata pelajaran ini.

“ Baiklah, setengah jam pertama kita belajar. Setengah jam terakhir, kamu buat kerja kamu sendiri ya. Ustaz ada hal sedikit nak berbincang dengan salah seorang rakan kamu.”

“ Siapa ustaz?”

“ Nanti kamu tahulah.”

Pada setengah jam pertama, ustaz cuba menghabiskan Bab Tiga dalam bidang Tilawah yang bertajuk ‘ Batas-batas Pergaulan’ . Pembelajaran yang sungguh singkat dan padat itu, membuka mata pelajar dengan cara sempoi yang ustaz sampaikan. Para pelajar mudah memahami apa yang ustaz ajarkan. Kadang-kala isi-isi pelajaran juga tersirat dalam jenaka ustaz. Setengah jam pertama sudahpun tamat. Ustaz melabuhkan punggungnya di atas kerusi guru. Murid-murid Tingkatan 5 Zamrud melakukan kerja sendiri.

“ Boleh ustaz jumpa dengan Irsyad.” Suara Ustaz Hafiz bergema di seluruh kelas.
Semua murid menoleh ke arah Irsyad. Irsyad bangun dan melangkah ke meja guru. Kenapa ni ek? Kenapa ustaz nak jumpa aku?

“ Ya, ustaz.”

“ Kamu Irsyad?”

“ Ya, ustaz.”

“ Kamu ambil kerusi, duduk sini. Ustaz ada sesuatu nak cakap dengan kamu.” Ustaz menunjukkan kerusi kosong berdekatan dengannya dan menyuruhnya duduk bersebelahan dengan meja guru.

“ Kamu dari sekolah mana?”

“ Dari sekolah SMK Agama Segamat, Johor.”

“ Sekolah agama ya?”

“ Ya, ustaz.”

“ Gini, Irsyad. Ustaz dengar dari Cikgu Rozita semalam, kamu tetap nak teruskan pembelajaran Bahasa Arab kamu. Betul?” Irsyad mengangguk. Dia mengukir senyuman. Dia seperti sudah dapat rasakan bahawa dia dapat mempelajari Bahasa Arab bersama ustaz tersebut. Hatinya sudah berbunga riang.

“ Baiklah. Ustaz akan uruskan jadual kamu dengan ustaz, boleh?”

“ Boleh, ustaz.” Dia tersenyum gembira. Syukur.

“ Jadi, kamu rasa, kamu boleh mula bila?”

“ Bila-bila sahaja, ustaz. Terima kasih, ustaz.” Irsyad menghulurkan tangan. Tangannya disambut. Dia mencium tangan ustaz. Hatinya hanya mampu mengucap hamdalah. Alhamdulillah!

“ Ustaz gembira ada murid macam kamu.” Ustaz mengulum senyuman.

“ Syukran ya ustaz.” Bibir Irsyad tidak putus-putus menghadiahkan senyuman. Ustaz Hafiz mengangguk. Dia memahami perasaan Irsyad.

Irsyad bersemangat melangkah kembali ke tempat duduknya. Syafiq dapat melihat kegembiraan pada wajahnya.

“ Tahniah, Syad.”

“ Terima kasih. Alhamdulillah.”

Waktu rehat telahpun tiba. Semua penghuni kelas 5 Zamrud bergegas turun ke kantin. Irsyad masih enggan pergi ke kantin. Ada yang perlu dibereskan. Dia teringat akan kertas yang dijumpai olehnya di hadapan bilik ICT pagi tadi. Dia mengeluarkan kertas tersebut dari poket seluarnya. Lipatan dibuka semula.


Kau hadir dalam hidupku,
Membuatkan hidupku lebih bermakna.
Wajah yang suci itu,
Membuatkan hatiku tertambat padanya.
Adakah aku sudah jatuh cinta?
Ah, bukankah aku sudah ada yang punya?
Tetapi, kenapa aku rasa tidak selesa?
Tatapan matanya membuatkan aku seperti mahu menggila.
Perilakunya memaksa aku untuk menghampiri dia.
Senyumannya selalu menenangkan hatiku sahaja.
Inikah sebenar-benar cinta?
Atau ia hanya mainan perasaan aku sementara?
Aduhai, mahu sahaja aku lupakannya.
Namun, aku seperti tidak berdaya.
Wahai Irsyad,
Kenapa kau muncul dalam hidupku dan membuatkan jiwa aku makin merana?
Jiwa aku tertanya-tanya.
Baru sehari aku melihat dia,
Begini besar impak yang terkena.

Dari Kalbu,
Balqis Safiyyah
9.30 malam
16.02.2010


Terbeliak mata Irsyad membaca isi kertas itu. Sememangnya tuan punya kertas itu telah diketahui, namun perasan lain yang muncul. Astaghfirullah, adakah kehadiran aku di sini memberikan impak yang besar kepada dia? Apa yang perlu aku lakukan? Minda Irsyad berserabut. Dia beristighfar banyak kali. Fikirannya buntu. Ya Allah, bantu aku! Irsyad berdoa dalam hati. Hari kedua di SMK Tandek ini memberi kesan yang agak besar dalam hidupnya sebagai seorang pelajar. Ya Allah, aku tidak mahu perkara ini diulang lagi. Kenangan pahit yang lalu diimbas kembali di peti memorinya.

“ Irsyad, aku minat dengan kau.”

“ Kau ni, Zara. Lawak arr.” Irsyad gelak.

“ Aku tak main-mainlah.” Zara bertutur lembut.

“ Apa-apalah, Zara.” Irsyad melangkah ingin meninggalkan Zara di gelanggang bola jaring itu sendirian.

“ Syad!” Zara menuju ke hadapan Irsyad.

“ Aku tak tipu. Aku minat dengan kau.”

“ Zara, kau sedar ke apa yang kau cakapkan ni?”

“ Aku tahu apa yang aku cakap. Aku sekarang dalam keadaan waras. Puas hati?”

“ Dahlah, Zara. Aku malas nak layan cintan-cintun ni.”

“ Syad, aku serius ni.”

“ Zara, kau belajar apa yang aku belajar. Kau ingat lagi tak, Surah Al-Isra’, ayat 32. Allah berfirman, Dan janganlah kamu mendekati zina; (zina) itu sungguh suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk. Tak perlulah aku ulas lagi semua tu sebab kau sendiri dah tahu.”

“ Syad, aku tak tahulah... Perasaan aku kali ini, lain macam je.”

“ Zara, jangan kau terjebak dengan cinta nafsu.”

“ Habis, kau nak biarkan perasaan aku ni macam ni je? Tak ada balasan?”

“ Maksud kau?”

“ Syad...” Zara memagang tangan Irsyad.

Irsyad terus melepaskan pegangan itu. Dia beristighfar.

“ Zara, apa dah jadi dengan kau ni?!” Suara Irsyad meninggi.

“ Aku betul-betul gilakan kau. Sebelum orang lain dapat kau, baik aku dapatkan dulu.”

“ Ha?! Zara, bawa mengucap. Istighfar.”

“ Irsyad, untuk pengetahuan kau, ramai yang minat dengan kau. Aku taknak lepaskan kau kepada orang lain. Aku cintakan kau.”

“ Astagfirullah, Zara. Apa yang dah merasuk dalam diri kau ni? Aku taknak tahu pasal perasaan kau pada aku, perasaan orang lain pada aku. Aku dah taknak tahu. Sekarang aku nak balik asrama. Kalau kau nak layan perasaan kau, kau layanlah sorang-sorang. Aku dah taknak ambil kisah. Assalamualaikum.” Irsyad terus melangkah pergi.

“ Irsyad! Irsyad! Kau akan menyesal dengan apa yang kau cakapkan tu!” Zara menjerit.

Teriakan Zara membuatkan rakan-rakan yang lalu-lalang di situ, melihat ke arahnya. Perasaan cinta yang selama ini disemai di dalam hatinya, kini bertukar menjadi amarah. Kau tengoklah nanti Irsyad. Aku sanggup buat apa sahaja demi membuktikan cinta aku pada kau. Aku bukan pengecut macam orang lain.

“ Zara, apa kamu buat ni?” Ustazah Khairah cuba menenangkan Zara yang sedang mengacukan pisau lipat ke pergelangan tangannya.

“ Ustazah, saya dah tak tahan dah nak hidup macam ni. Ayah dan ibu saya yang tak ambil berat tentang anaknya, cinta saya yang tak dibalas. Kenapa semua orang bencikan saya?” Zara meluahkan isi hatinya.

“ Mana ada orang yang bencikan kamu. Semua sayangkan kamu.” Ustazah Khairah cuba mengembalikan kondisi jiwa Zara yang sedang kusut kepada normal dan tenang.

Semua pelajar dan guru berkumpul di makmal tiga untuk melihat kejadian tersebut. Irsyad bersama rakan-rakannya menuju ke makmal tersebut untuk melihat keadaan Zara. Salah akukah semua ini terjadi? Patutkah aku memenuhi kemahuan nafsunya? Pelbagai persoalan yang menerjah ke ruang fikiran Irsyad ketika dalam perjalanan ke sana.

“ Ustazah, saya nak cakap dengan Irsyad.”

“ Irsyad? Irsyad bin Zulfadli?” Zara mengangguk.

“ Tolong panggil Irsyad!” Ustazah menyuruh salah satu murid yang berada di situ.

Murid tersebut berlari keluar makmal. Kebetulan pula Irsyad tiba tepat pada waktunya.

“ Irsyad, ustazah panggil kau. Cepat.” Irsyad mengangguk lalu terus masuk ke dalam makmal.

“ Ya, ustazah.” Dia terkejut melihat keadaan Zara yang sepertinya tidak keruan.

“ Irsyad…” Kalam Zara terputus-putus.

“ Irsyad, kau tak terima cinta akukan?” Zara menangis.

“ Zara, kau kena faham. Aku bukan macam lelaki-lelaki lain yang kat luar sana tu.”

“ Kau nak aku buat apa untuk buktikan cinta aku pada kau?”

“ Zara, kau tak perlu buktikan apa-apa. Sekarang ni, aku nak kau lepaskan pisau tu. Tolong dengar cakap aku.”

“ Aku tak nak! Selagi kau tak terima cinta aku, aku takkan lepaskan.”

“ Astaghfirullah, Zara. Allah sentiasa ada bersama kita semua. Cinta Allah itu lebih penting dari segalanya.” Ustazah bersuara lembut.

“ Irsyad… Kau sayangkan aku tak?” Tangisannya semakin kuat.

Irsyad melihat ke wajah ustazah, ustazah mengangguk perlahan. Irsyad seperti mengerti maksud disebalik anggukan tersebut. Dia menarik nafas panjang.

“ Sayang.” Irsyad membalas perlahan.

Sayang sebagai kawan dan sebagai saudara sesama Islam. Ya Allah, betulkah apa yang aku lakukan ini? Setitis peluh jatuh ke lantai. Zara melepaskan pisau lipat tersebut. Ustazah merangkul tubuhnya yang lemah. Guru-guru mengangkatnya dan membawanya ke hospital untuk membuat rawatan lanjut. Irsyad terduduk di lantai makmal. Rakan-rakannya menuju ke arahnya dan menanyakan keadaannya.

“ Kau ok, Syad?” Irsyad henya mengangguk lemah.

Oleh peristiwa yang demikian, Zara berpindah ke sekolah lain. Peristiwa yang pahit itu menyebabkan Irsyad mengalami trauma selama seminggu. Sepanjang seminggu, Irsyad tidak bersapa dan bercakap dengan insan yang bergelar perempuan. Dia lebih banyak berdiam dan mengasingkan diri daripada bergaul dengan rakan-rakan. Tetapi, dia telah pulih kembali kepada sedia kala atas sokongan keluarga, rakan-rakan dan guru-guru.

Kuakan pintu menghapuskan lamunan Irsyad. Deringan loceng semakin menyedarkan Irsyad. Kelas 5 Zamrud kembali dipenuhi oleh para penghuninya. Irsyad melipat semula kertas tersebut. Dia menunggu roman muka Balqis muncul di ambang pintu. Setiap rakan yang masuk ke dalam kelas, diteliti betul-betul.

Balqis dan Najwa melangkah masuk ke kelas. Kedua-dua mereka kelihatan gembira. Irsyad bangun dan ingin berjumpa dengan Balqis, empunya kertas. Kaki yang baru ingin melangkah tehenti. Dia batalkan niatnya apabila melihat Aniq di belakang Balqis.

“ Kau nak pergi mana?” Syafiq berada betul-betul di hadapannya. Air muka Irsyad terpinga-pinga.

“ Kau kenapa?” Irsyad menggeleng kecil.

Dia duduk kembali. Bila aku akan pulangkan kertas ni? Perlukah aku berikannya kembali? Bagaimana caranya? Fikirannya bercelaru, semakin tidak menentu.

2 comments:

❤ ~ * cik aidacomei * ~ ❤ said...

wowowow...cerpen ke cite betol ni?
macam real jer..huhu...

ceritaSyaza said...

cerpen je. he~